KEPAK mohon tuntutan dikemukakan kepada Kerajaan diambil perhatian

Pic 4

30 September, Bangi – Bertempat di Dewan Datuk Mohd Shahir, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), telah diadakan Mesyuarat Agung Dwitahunan Kesatuan Pegawai Eksekutif (KEPAK) ke 42 yang dirasmikan oleh Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), YBhg. Datuk Hj Azih bin Hj Muda.

 

Ketika menyampaikan ucapan aluannya Presiden KEPAK, Saudara Saadon Hj Aris telah menyatakan bahawa beberapa tuntutan yang telah dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) masih belum mendapat maklum balas malah usaha untuk menemui YBhg. Tan Sri KPPA selaku Ketua Perkhidmatan PPT bagi mengadakan kunjungan hormat masih belum menjadi kenyataan. Beliau juga menambah bahawa Persidangan Penolong Pegawai Tadbir Gunasama Persekutuan 2017 yang telah diadakan secara Dwitahunan sejak 2010 tidak diluluskan pada tahun ini.  Sesungguhnya selaku nakhoda KEPAK sejak 15 tahun yang mewakili semua ahli KEPAK yang terdiri daripada Skim Perkhidmatan Penolong Pegawai Tadbir berasa kesal atas apa yang terjadi. Isu pewujudan Gred Lapisan Baru N40 yang telah dijanjikan pada Bajet 2017 masih belum dilaksanakan dan bagi Kemudahan Cuti Belajar Bergaji Penuh bagi kumpulan pelaksana dikenakan pelbagai syarat yang menyukarkan kumpulan ini mendapat kemudahan tersebut.

 

Perkara ini turut dipersetujui oleh YBhg. Datuk Hj. Azih bin Muda, Presiden CUEPACS dalam ucapan perasmian menyatakan bahawa CUEPACS akan menuntut kerajaan untuk memenuhi perkara-perkara yang telah dijanjikan kepada penjawat awam terutamanya pewujudan gred lapisan kenaikan pangkat yang baharu. Beliau juga turut menyatakan supaya Kemudahan Cuti Belajar Bergaji Penuh bagi kumpulan pelaksana dikaji semula dan dilaksankan polisi pemberian kemudahan tersebut seperti kumpulan Pengurusan dan Profesional.  Cuepacs juga telah memohon kerajaan diberikan kenaikan 2 KGT (kenaikan gaji tahunan) dan berharap perkara ini diumumkan pada Majlis Perhimpunan Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke 15 yang akan diadakan pada 3 Oktober ini.

 

YBhg. Datuk Hj Azih Muda juga memohon kerajaan memberikan bonus satu bulan setengah gaji kepada penjawat awam dalam pembentangan bajet 2018 yang dijangka akan dibentangkan pada 27 Oktober ini ketika sidang media yang diadakan selepas majlis perasmian.

 

Kesatuan Pegawai Eksekutif (KEPAK) merupakan kesatuan sekerja dibawah gabungan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) yang telah ditubuhkan sejak 1961 bagi mewakili Skim Perkhidmatan Penolong Pegawai Tadbir Semenanjung Malaysia.

Related Blogs

Leave us a Comment

Ke Mana Yuran Bulanan KEPAK