Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Salam Malaysia Madani,
Selamat sejahtera kepada rakan-rakan seperjuangan warga Kesatuan Pegawai Eksekutif Semenanjung Malaysia (KEPAK) serta semua rakan-rakan Penolong Pegawai Tadbir (PPT) di seluruh Malaysia.
Tuan/Puan,
Seperti yang kita sedia maklum, pada 4 September 2025 yang lalu, telah berlangsung Persidangan PPT Tahun 2025 dan Mesyuarat Agung KEPAK Kali Ke-46 secara hibrid dengan jayanya. Di kesempatan ini, saya ingin merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada urus setia program (MJKKP Sesi 2023-2025) serta setinggi-tinggi penghargaan kepada semua ahli KEPAK yang hadir sama ada secara fizikal mahupun atas talian.
Sepertimana semua sedia maklum, mesyuarat agung tersebut turut menyaksikan pemilihan ahli Majlis Jawatankuasa Kerja KEPAK Pusat (MJKKP) bagi Sesi 2025-2027. Alhamdulillah, saya bersama rakan-rakan calon lain telah diberi amanah oleh tuan/puan semua melalui pemilihan tersebut.
Rakan-rakan ahli KEPAK yang saya hormati,
Insya-Allah saya bersama saf kepimpinan MJKKP yang baharu akan berusaha sedaya upaya serta kekal komited dalam memberikan khidmat terbaik demi memperkukuh kesatuan, memperkasakan ahli, serta memantapkan Skim PPT pada masa hadapan dalam perkhidmatan awam.
Pada masa yang sama, izinkan saya mengingatkan diri saya sendiri dan semua rakan PPT agar sentiasa mengekalkan mutu perkhidmatan yang tinggi kepada pihak berkepentingan di kementerian serta jabatan masing-masing. Kita mahu Penolong Pegawai Tadbir dilihat sebagai pegawai yang berkaliber, berilmu, berintegriti dan cekap mengurus tugasan dalam jabatan atau kementerian.
Sesungguhnya, PPT adalah antara tonggak penting dalam sesebuah organisasi. Justeru, marilah kita sentiasa memperkukuh ilmu, meningkatkan kemahiran dan menimba pengalaman agar mampu menjadi rujukan di mana sahaja kita ditempatkan.
Rakan-rakan sekalian, sudah tiba masanya kita semua bersama-sama menyokong KEPAK dengan bukan sahaja menjadi ahli, tetapi juga terlibat aktif dalam setiap program dan aktiviti kesatuan. Hanya dengan itu KEPAK akan terus dihormati, disegani serta diberi perhatian sewajarnya oleh pihak luar.
Saya turut merakamkan setinggi penghargaan kepada saf kepimpinan terdahulu – Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat KEPAK Sesi 2023-2025, Pengerusi-pengerusi Negeri, serta Jawatankuasa Kecil yang dibentuk – atas khidmat bakti dan komitmen sepanjang tempoh perkhidmatan. Semoga segala usaha dan sumbangan mereka diberkati Allah SWT.
Akhir kata, saya menyeru agar kita semua terus menyokong perjuangan dan agenda penambahbaikan KEPAK supaya suara kita sentiasa didengari serta diberikan perhatian sewajarnya oleh pihak berkepentingan. Mudah-mudahan Allah SWT sentiasa melindungi kita, mengurniakan kekuatan, ketabahan dan mempermudahkan segala urusan kita pada masa akan datang.
Wassalam.
#UNITED WE STAND
#WE STRIVE FOR EXCELLENCE

ENCIK MOHD FAIZAL BIN ZAINAL ABIDIN
PRESIDEN KEPAK
No Telefon: +6019-2322800
Email Utama:


